PERLANTIKAN PENGARAH PELAJARAN NEGERI TERENGGANU YANG BARU

10 November 2010

Perhimpunan Khas Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu telah diadakan pada 7 November 2010 jam 8.00 pagi bersempena pelantikan secara rasmi Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu yang baru iaitu Yang Berbahagia Encik Razali bin Daud. Majlis dimulakan dengan penyampaian jambangan bunga daripada murid-murid SK Marang yang didatangkan khas ke jabatan bagi mengingatkan zaman awal persekolahan beliau. Beliau mengucapkan rasa penuh kesyukuran dan berterima kasih kerana diberi amanah serta kepercayaan untuk menerajui Pendidikan Negeri Terengganu.
Beliau mengharapkan warga Pendidikan Negeri Terengganu sentiasa komited dalam melaksanakan visi dan misi jabatan secara bersama dengan memberi penekanan kepada peningkatan prestasi kerja yang baik supaya menghasilkan natijah yang baik. Elakkan terlalu banyak bercakap kerana dibimbangi banyak perkara yang tidak betul dan fitnah akan terucap serta elakkan perpecahan yang menyebabkan warga JPNT tidak dapat bekerja dengan baik. Dengan memetik mafhum sebuah hadis Rasulullah S.A.W beliau mengingatkan tentang akibat melakukan fitnah dan celaan kepada saudara yang lain akan menyebabkan doa tidak dimakbulkan, ibadah tidak diterima dan celaan yang disebut akan kembali kepadanya.

Beliau telah mengingatkan warga JPNT supaya sentiasa mematuhi dan menepati etika kerja dengan berpegang kepada prinsip amanah, melaksanakan kerja secara jujur, tulus dan telus serta meletakkan sesuatu betul ditempatnnya. "Sense of urgency" iaitu mengutamakan kesegeraan dalam melaksanakan tugas dan menepati masa dalam semua urusan.
Dalam majlis yang sama beliau turut memaklumkan tentang cadangan melantik Tn.Hj.Salleh bin Busu sebagai Timbalan Pengarah dengan mengambilkira kelayakan dan senioriti serta menyusun semula pegawai mengikut kesesuaian dan kepakaran. Beliau juga berazam akan cuba menyelesaikan urusan jabatan walaupun perlu bekerja lebih masa termasuk pada hari sabtu. Berkenaan dengan kehadiran pengarah dalam program rasmi jabatan beliau meminta pihak urusetia turut sama melibatkan timbalan pengarah.
Di akhir ucapan, beliau memohon warga JPNT mendoakan supaya beliau akan menjadi pemimpin yang insaf, amanah dalam pekerjaan dan berpegang pada kejujuran serta menyeru supaya semua kakitangan Jabatan melaksanakan tugas yang terbaik supaya Jabatan Pelajaran Terengganu akan menjadi satu organisasi yang kuat.

0 comments:

Post a Comment

About This Blog

adibjabi@gmail.com

PENAFIAN

PENAFIAN:Admin Blogger tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada blog ini.Copyright © 2008 SK Jabi. All rights reserved

  © Blogger template The Professional Template II by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP